Monday 12 December 2011

Mehnah Membentuk Peribadi Syukur




Firman Allah S.W.T :

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya, “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”
                                                                                                        (Al-Baqarah : 214)

Barangsiapa menginginkan penjelasan daripada al-Quran dan akal tentang kehidupan dunia, maka, kedua-duanya akan mengkhabarkan bahawa dunia ini adalah penuh dengan ujian dan bala’. Justeru, tidaklah hairan, jika di sana telah menunggu bermacam bala’ serta ujian. 

Dunia dalam keadaan yang sebenarnya bukanlah untuk meneguk kelazatan. Tiada kelazatan di sana kecuali jauhnya melainkan menyakitkan.

Jika kita mengimbau kembali bagaimana Nabi Adam sendiri, tiada habis-habisnya memperoleh cubaan sehingga beliau meninggalkan dunia ini. Nabi Nuh pula beratus-ratus tahun menangis, Nabi Ibrahim dilempar ke dalam api oleh kaumnya. Juga beliau diuji untuk menyembelih puteranya. Nabi Yaaqub sentiasa menangis sehingga matanya menjadi buta. Nabi Musa harus menghadapi keganasan Fir’aun serta selalu mendapat ujian daripada kaumnya.


Wasiat Buat Teman


Sahabat-sahabat sekalian,

Sesungguhnya manusia akan diuji dalam segala sesuatu, sama ada dalam hal-hal yang disenanginya dan disukainya, mahupun dalam hal-hal yang dibenci dan tidak disukainya. 

Allah S.W.T berfirman :
      
“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”
                                                                                                            (Al-Anbiya’: 35) 
                
Manusia itu teruji dengan dikurniakan kesihatan yang diperolehinya. Dia juga teruji dengan ditimpa sakit. Manusia diduga dengan kekayaan, dia juga diduga dengan kemiskinan. 

Allah memberi percubaan dengan kesenangan; Dia juga memberi percubaan dengan penderitaan. Demikianlah percubaan Allah terhadap hamba-Nya bertukar ganti antara susah dan senang, antara derita dan lapang, antara takut dan damai serta antara nikmat dan bala’.


Jenis-jenis Ujian


· Kepercayaan dan agama
· Tubuh badan
· Harta kekayaan
· Perempuan dan anak-anak (dugaan nafsu dan syahwat)


Tujuan-tujuan Ujian


1.Menyaring dan menggilap seperti firman Allah yang bermaksud,
               
“Dan kerana Allah hendak menyaring mereka yang beriman dan hendak menghapuskan kekafiran.”
                                                (Ali Imran : 141)

2.Meninggikan darjat dan menghapuskan kejahatan seperti mafhum sabda Rasulullah s.a.w yang menerangkan sesungguhnya bala itu tetap akan menimpa orang-orang beriman lelaki dan perempuan. Mengenai dirinya, anaknya dan hartanya sehinggalah dia menemui Allah dalam keadaan tiada berdosa lagi.
 
3.Menguji dan menyingkap hakikat insan untuk menjelaskan hakikat kemanusiaan sebagaimana firman Allah,

“Allah tidak akan biarkan manusia atas keadaan yang kamu ada padanya hingga ia bezakan yang buruk dari yang baik.”
                                                (Ali-Imran : 179)

4.Membentuk peribadi.

Dugaan-dugaan selalu mencipta pahlawan-pahlawan dan memanglah ujian-ujian selalu mengasuh bakat-bakat yang ada di dalam diri manusia sekali gus menjadikan mereka sebagai manusia dan satria.


Jadi sahabat sekalian, tatkala diri kita menghadapi dugaan yang pada hakikatnya memang berat dan susah untuk menerimanya tetapi yakinlah Allah sebagai Khalik semesta alam telah menyiratkan seribu macam hikmah di sebalik dugaan itu. 

Tambahan pula, ia merupakan titik tolak untuk kita bekerja keras bagi menempa kecemerlangan.

Adapun kita dianjurkan supaya membaca lafaz Istirja’ (Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un) saat musibah itu menimpa diri kita yang serba lemah ini lalu membaca doa seperti yang diajar oleh Rasulullah S.A.W kepada Ummu Salamah yang bermaksud,

“Ya Allah, berilah kami pahala dalam musibah ini dan berilah kami ganti yang lebih baik daripada musibah ini, melainkan Allah akan mengabulkan doanya.”


Sunday 11 December 2011

Air Kopi Dengan Air Suling





Pada Suatu Malam


Aku segelas air kopi. 


Malam ini merupakan majlis hari lahir sahabat saya. Iaitu, air sirap. Majlis ini diadakan di rumahnya. Kelihatan ramai sahabat yang bertandang ke rumahnya semata-mata untuk meraikan kelahirannya yang ke 11 tahun. Saya juga tidak turut melepaskan peluang ini untuk bertemu dengan sahabat handai yang sudah lama tidak bersua. Dek semua sibuk dengan kerjaya masing-masing. Ada yang bekerja sebagai pengurus di Hotel Adelphi: Ada yang sudah bekerja di Jabatan Bekalan Air sebagai pagawai eksekutif dan ada juga sebagai akauntan di Maybank, Kuala Lumpur.


"Aku sahaja yang masih bekerja sebagai pekerja kilang on-semiconductor," getus hati saya.


Tetapi, saya cuba menyahkan perasaan tersebut. Cuba bawa ke tepi seketika.


Saya meletakkan motorsikal di tempat parkir yang telah disediakan oleh tuan rumah. Saya memakir elok-elok kerana motorsikal tersebut baru sahaja seminggu di beli. Masih berkilat. Saya berasa sedikit bangga.


Kelihatan dari luar rumah, ramai sahabat sepersekolahan dahulu. Antaranya, yang masih kekal di ingatan, air milo, air limau dan air bandung. 


Hati saya mula di taut rasa gembira. Bak bunga yang ingin mekar di pagi hari. 


Setibanya...


Derapan tapak kaki saya yang baru sahaja memasuki daun pintu, tiba-tiba, semua beralih memandang saya. Semuanya, berpaling ke diri ini. Ralit sungguh. Macam, seekor singa yang ingin menerkam mangsanya.


Saya kaget sebentar. Tidak tahu mengapa.


Saya terus berjumpa dengan sahabat lama iaitu air sirap. Kelibatnya kelihatan di sudut rumah. Nampaknya, dia sedang rancak berborak. 


Sekali gus, saya tidak mempedulikan atas apa yang berlaku sebentar tadi. 


"Buat endah tak endah. Buat tak tahu sahaja." 




Bermulalah Dialog


Saya terdengar kata-kata halus dari sebelah kiri. Mereka sedang ketawa melihat saya. Nama saya kadang-kadang di sebut dalam perbualan mereka. 


Saya semakin tidak selesa. Terasa punggung di panggang. Panas sangat. 


Tiba-tiba, suatu suara sinis datang dari arah belakang. Saya menoleh.


"Eh, air kopi! Mengapa kau datang ke majlis ini. Sudahlah muka hitam. Gelap pula."
air teh rupa-rupanya.


"Kau tidak tahu ke yang majlis ini untuk mereka-mereka yang cantik dan kacak sahaja?" kata air milo.


"Cubalah cermin muka kau itu. Sudahlah hodoh. Jelek aku lihat kau ini. Memang tidak sedar dirilah, kau ini," cantas air limau.


Hati saya mula merah. Berdarah. Diri menjadi kaku dan beku.


Saya akur. Lantas, saya pun berkata, 


"Ya, aku akur. Apa yang kamu lihat aku, itulah diriku." 


"Cuba lihat macam kami. Cantik dan anggun. Bukannya seperti budak hingusan ini. Muka, gelap yang teramat." kata air jambu batu dengan reaksi diri yang amat sombong.


Hati saya sudah terasa membengkak. Telinga panas dan kebas. Dengan leteran dan sindiran mereka.


Pipi saya mula berasa hangat. Mata berkolamkan air mata. Bergenang. Tunggu masa untuk merembes keluar. Akhirnya, berjurai juga membasahi pipi ini. Jurainya, jernih.


Hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui. Akan perasaan hati ini.


Ya, Tuhan...








Mutiara Daripada Air Suling


Suasana menjadi hangat dan gamat. Dengan suara-suara sinis. Sinis yang menyindir.


Dalam kegamatan itu, tiba-tiba, air suling bersuara. Dia semenjak tadi hanya berdiam diri. Membisu. Tidak tahu puncanya.


Sekarang, baru ingin membuka mulut. Macam, telinganya tidak dapat menangkap apa yang barlaku di sini.


Saya mengeluh.


Tampaknya, dia sedang menyusun bicara. Sesekali, nafasnya turun dan naik.


Suasana menjadi hening. Sunyi buat seketika.


"Atas sebab apa, kalian berkata sedemikian?"


Semuanya, tersentap dengan kata-katanya.


"Adakah, hanya sebab rupanya?"


Semua yang mendengar saling memandang antara satu sama lain. Mencari jawapan yang satu. 


Tetapi, muflis. Hanya, mampu menggeleng.


"Bukankah, satu ketika dahulu, kita berasal daripada air yang sama?"


"Bukankah, sebelum kita menjadi beraneka jenis air, kita dimasukkan dahulu dengan air suling?" 


Semua, terpana dan terkejut dengan soalan yang berbentuk jawapan sedemikian. Tidak langsung terlintas dalam fikiran. 


Menarik.


"Mengapa, kita harus mencaci dan memaki hamun orang lain, walhal, kita dahulu adalah sama?" dia fasih meneruskan bicara.


"Ingatlah, kita adalah bersaudara. Tidak harus berhasad dengki. Tidak perlu menyimpan seribu perasaan iri hati. Kita berasal daripada benda yang satu. Yakni, air suling. Selepas itu, kita dibancuh dengan serbuk perisa mengikut citarasa tuan kita. Pasti, ada tujuan yang baik dan molek atas bancuhannya yang bermacam-macam itu."


"Kita harus bersatu. Hendakkah kita melihat air kopi ini terus menerus berduka disebabkan bicara kalian. Dia adalah kita. Kita adalah dia. Kita adalah daripada acuan yang sama." 


"Tidak ada apa-apa yang lebihnya pada kita. Kita, semua sama."


Ada suara tangis di belakang sudut sana. Sayu, bunyinya. Semuanya, hanya mampu menunduk untuk mendengar ceramah pendek daripada air suling. Tidak disangka-sangka. Air suling mampu berkata sebegitu.


Tajam sungguh kata-katanya tadi.


Semuanya, khusyuk.




Kita Yang Satu


Begitulah dangan kita. Kita berasal daripada yang satu. Iaitu, daripada setitis air mani. Air yang sangat hina. Tiada nilaian langsung.


Firman Allah s.w.t:


"Kemudian, Dia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati (iaitu) dari air (mani/benih) yang sedikit dipandang orang."
(al-Sajdah :8)


Jadi, usah memandang rendah terhadap orang lain. Kerana, kita juga rendah. Sebaliknya, hormati dan berkasih sayanglah di antara kita.

Kita memang daripada keturunan yang berbeza. Berlainan latar belakang. Tetapi, kita punya Tuhan yang satu. Setiap daripada kita ada sumbangan untuk agama. Tidak kira, cantik atau hodoh dan yang berada mahupun miskin. Semuanya, ada manfaat dan matlamat. Hanya, tinggal diri sahaja.

Hiduplah saling melengkapi. Elakkan bersangka-sangka. Kerana sebahagian besar berprasangka itu adalah panah-panah dosa.

Berbincanglah baik-baik dalam setiap urusan. Bulatkanlah tekadmu dan bertawakkallah kepada Tuhan-Mu.

Janganlah, kita sendiri yang membangkitkan api permusuhan kerana Islam melarang untuk berbuat sedemikian. 

Jauhkan hasad dengki. Kerana, kita sebenarnya sedang menyeksanya. Seperti mengurung burung sehingga mati.

Sabda Nabi s.a.w:

"Janganlah kamu saling membenci, saling hasad dengki, saling berpaling, dan saling memutuskan silaturahim. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih daripada tiga hari."
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Tiada istilah dalam hidup ini, 


"apa yang kau lihat aku, itulah aku."


Sebenarnya, itu hanya propaganda. Propaganda untuk mencari alasan. Malas mencari jawapan. Menunjukkan perihal seseorang yang cuba melarikan diri daripada rona-rona kehidupan.


Kita adalah suci. Baik dan bersih. Kita diciptakan atas fitrah yang satu. Semua mempunyai peluang dan ruang untuk menjadi hamba yang baik.


Kitalah yang mencorakkan diri untuk menjadi apa setelah dimasukkan dengan air suling.


Saya bersyukur kerana telah dipertemukan dengan air suling yang bisa mengubati jiwa-jiwa sahabat yang lain. itulah, aura bersaudara. Saudara tidak akan tergamak membiarkan diri lain terus terjerumus ke lembah kehampaan. Kerana, saudara akan sedaya upaya akan menarik kembali. Kembali, menemui yang satu.


Saya, bersyukur mendapat kawan yang memahami.


Syukur, Alhmadulillah...


Atas apa yang menimpa, syukurlah setiap detik dalam kehidupan