Monday 13 February 2012

Siapa Itu?




Setiap manusia itu mempunyai hak. Kuasa untuk memilih. Ini jelas terbukti tatkala tiba musim pelantikan organisasi baharu bagi sesebuah pertubuhan, kelab atau persatuan dalam sesuatu kawasan. Pada masa itu, pelbagai taktik, propaganda dan strategi yang dilakukan oleh si pengundi untuk memenangkan calon idaman mereka. Bagi yang dicalon pula, sibuk dengan manifesto yang begitu memukau hadirin. Fenomena ‘art of war’ ini semakin menjadi-jadi apabila terdapat pergeseran dan salah faham antara kedua-dua belah pihak yang ingin menaikkan calon pilihan masin-masing.

Catatan ini adalah berdasarkan apa yang berlaku di institusi pengajianku suatu masa dahulu. Iaitu semasa musim pelantikan organisasi baharu Majilis Perwakilan Pelajar (MPP) sedang giat dijalankan.

Terimbau kembali suasana ketika itu. Masing-masing dengan kehendak tersendiri. Ada sebahagian kelompok yang menyahut-nyahut nama calon impian mereka di khalayak sebagai menzahirkan keinginan mereka. Ini juga antara salah satu bentuk perang saraf. Kaedah yang dapat mencucuk dan mempengaruhi psikologi seseorang. Tetapi, pemimpin yang bagaimana, sepatutnya kita pilih?


Kenali Pemimpin Di sekeliling

Firman Allah s.w.t:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”                                                                                         (an-Nisa’: 58)

Pemimpin haruslah melakukan pengorbanan yang amat tinggi. Ini kerana kejayaan didahului dengan perjuangan dan perjuangan itu sendiri menuntut kepada pengorbanan yang mulus. Sukar untuk kita menjenguk pada era ini, seorang pemimpin yang sanggup bersengkang mata dan merenggang punggung daripada tempat beradunya (tempat tidur), membuat rondaan di sekeliling kawasan pemerintahan. Dia berbuat sedemikian semata-mata untuk rakyat jelatanya, memastikan segala keperluan rakyat mencukupi.
Bagi pemimpin itu, biar dirinya terluka, asalkan orang lain mengecap bahagia. Dia perlu melaksanakan yang terbaik kerana nanti dia akan dipersoalkan di hadapan Allah. Ini kerana ketua bukannya tasyrif (kemuliaan). Tetapi, ianya taklif (tanggungjawab). Pemimpin itu merasakan bahang bara api neraka sentiasa berada sejengkal di atas bahunya.

Hakikatnya, pemimpin adalah khadam. Bukannya tuan. Nah, prinsip sebeginilah yang perlu dicari.

Sabda Nabi s.a.w:
“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan terhadap apa yang kamu pimpin.”  


Tanda Soal Pada Diri Sendiri

Kita asyik mencalon dan mengundi seseorang. Semangat ke’aku’an meniggi pada tika itu. Sungguh. Namun, selepas nama calon idaman kita dilantik secara rasmi, adakah semangat diri masih sama seperti sebelum itu? Malah, laungan dan sahutan calonan sendiri semakin lama, semakin tidak kedengaran. Bisu menyunyi. Tidak seperti dahulu.

Hari ini, dalam kesibukan kita dengan pekerjaan, pembelajaran dan tidak kurang pula ada yang sudah berumahtangga, tidakkah kita sedar bahawa diri kita juga merupakan pemimpin. Khalifah. Kita dapat lihat di sana, terdapat manusia yang beriya-iya ingin menaikkan nama calon mereka. Mereka sanggup menggadaikan prinsip dan maruah agama semata-mata untuk tujuan itu. Khianat, korupsi, menaburkan kata-kata dusta dan nista, tidak amanah, menyebarkan fitnah dan propaganda palsu lagi menipu serta menghamburkan kata-kata kesat menjadi medium untuk melunaskan kehendak mereka. Tidak kurang juga ada yang memaki hamun dan menghina. Pada tika itu, adakah tidak terlintas langsung dalam benak hati dan kotak fikiran mereka yang sebenarnya mereka sedang memimpin anggota badan ke lembah kebinasaan? Walhal, itulah yang seharusnya dipimpin terlebih dahulu. 

Satu persoalan, adakah kita lupa yang diri kita sendiri adalah pemimpin? Adakah kita lupa yang kita ada tanggungjawab? Tanggungjawab memipin rohani dan jasad sendiri.
Cukuplah sekadar kita bertanya pada diri dengan soalan sebegini.

“Sejauh mana aku memimpin hati, mata dan telingaku ke arah kebaikan?”

Tiga anggota ini disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran. Menunjukkan betapa pentingnya bahagian ini. Kita harus memimpin hati untuk sentiasa mengingati kematian. Bukankah penghapus kenikmmatan adalah kematian? Tidak sekadar itu, dia perlu memandu mata dan telinga ke jalan yang diredha-Nya. Bukannya, mengadu domba dan menabur fitnah.

Selalulah bergelumang dengan pertanyaan ini.

Pemimpin adalah soal amanah dan tanggungjawab bukannya suatu kebanggaan. Jauh sekali, ia diletakkan bukannya atas dasar anugerah dan kelebihan seseorang. Tetapi, ianya adalah pilhan Ilahi. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa yang terbaik. Mungkin, apa yang tidak dikehendaki oleh diri kita, tetapi, itulah yang terbaik di sisi Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Tahu segala sesuatu.

Jawatan tidak boleh diminta. Tetapi, tatkala ia datang, ambillah dengan hati yang besar dan amanah sebelum ianya dirampas dan diambil oleh mereka yang tidak sepatutnya. Malah, kita adalah pemimpin meskipun tidak memimpin.

Salam tahniah dan takziah bagi mereka yang menggalas sebarang jawatan. Khususnya, sebagai hamba-Nya.