Sunday 20 November 2011

Allah Akan Membalas Seindah Syurga



 Allah s.w.t berfirman:


Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”                                                    
                                                                                      (al-Talaq 65: 7)

Muslim meriwayatkan daripada Umamah bin ‘Ajlan r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau menafkahkan kelebihan harta sesudah dipenuhi keperluan asasmu, maka itu merupakan kebaikan bagimu; jika engkau tidak mahu menafkahkannya, maka itu merupakan keburukan bagimu; dan engkau tidak akan tercela jika menyimpan harta sekadar cukup untuk eperluan asas. Berikanlah nafkah mulai daripada orang yang menjadi tanggunganmu terlebih dahulu. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.”
                                                                       (Riwayat Muslim no. 1036)

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah dan Mengasihani yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi pelbagai macam kurniaan di dunia ini. Dengannya, kita menjadi seorang yang bersyukur dan pemurah. Tangan kita berasa ringan untuk berkongsi apa yang diperoleh kepada mereka yang tidak berkesempatan. Hati gembira bukan kepalang saat kita melihat mereka turut gembira dan berwajah ceria. Baginya, hidup ini hendaklah menjadi seperti kasturi. Wangi dan mewangikan. Ianya bukan sahaja wangi, malah, mewangikan keadaan di sekeliling. Orang lain mendapat manfaat daripadanya. Rezeki bukan untuk dimiliki seorang diri. Tetapi, untuk berkongsi. Itulah, resmi kehidupan. Hasanah bagi mereka yang beringat.

Ya, para pembaca budiman. Memberi dengan kasih sayang. Memberi dengan erti kata lain, mengorbankan sesuatu. Berkorban demi memberi kesejahteraan kepada orang di sekeliling sekali gus meruntuhkan istana keegoan dan keangkuhan dalam diri. Yakni, memberi atau berkorban dari segi harta yang dimiliki, tenaga dan masa. Tetapi, ada perkara yang lebih utama dalam soal memberi. Memberi dari dalam ke luar, bukan asyik dari luar ke dalam. Memberi sinar hikmah kepada hati yang memerlukan. Memberi pedoman kepada jiwa-jiwa yang kosong dan sedang dilanda kesulitan.

Berilah walau seringkas rupa, kelak Allah akan membalas seindah syurga!

Bagaimanakah konsep memberi ini harus dipraktikkan seandainya pada masa yang sama, diri kita mengalami masalah kewangan dan dalam keadaan diri kita  yang tidak mengizinkan disebabkan masalah kesihatan? Ikuti pena ini.

Memberi Tabsyir  (Perkhabaran Gembira) dan dengan Sikap Ambil Berat

“….. Dan sampaikanlah khbar gembira kepada orang-orang yang sabar” 
                                                                                    (al-Baqarah: 155)
“..... Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh”                                     
                                                                                           (al-Hajj: 34)

Pada suatu hari Nabi S.A.W berjalan-jalan bersama seorang sahabatnya iaitu Fadhal bin Abbas. Mereka sedang menuju ke suatu kawasan perkuburan dan kelihatan banyak makan kerana telah begitu ramai yang dikuburkan di situ. Fadhal berjalan di samping Nabi S.A.W dan kadangkala di belakang Nabi sebagai menghormatinya. Sesampainya mereka di perkuburan itu Nabi pun berhenti, kelihatan Nabi seolah-olah sedang berfikir. Nabi melihat kuburan itu dengan tafakkur dan diam. Demikian juga sahabat yang bersama baginda. Perasaan orang di kuburan jauh berbeza jika dibandingkan dengan di pasar, di rumah atau di masjid. Tempatnya sepi dan sunyi walaupun ramai orang yang tertanam di sana.

Tiba-tiba, suasana sunyi itu dipecahkan oleh suara tangis seorang wanita. Kelihatannya dalam kesedihan kerana ditinggalkan oleh orang yang ada di dalam kuburan itu. Nabi S.A.W memberitahu teman baginda dan kemudiannya menghampiri wanita itu. Baginda melihatnya dengan penuh belas kasihan. Nabi berdiri tegak di hadapan wanita itu dan berkata:

Takwalah kepada Allah dan bersabar terhadap takdir Tuhan

Kata-kata Nabi tersebut telah menyejukkan perasaan dukacita dan menenangkan keadaan diri perempuan itu. Ianya, sebuah ritma ringkas. Tetapi, padat sehingga menjangkau langit yang ketujuh.

Inilah yang dinamakan tabsyir. Khabar gembira buat mereka yang hidup dalam ketaatan. Bak ais dalam gelas bagi mereka yang sentiasa bergelumang dengan kepanasan dan keperitan dalam terik mentari. Penat jerih mereka seolah-olah terasa dibayar apabila ralit mendengar ayat-ayat daripada Allah.

Cuba kita lihat pula, bagaimana khalifah ini. Khalifah Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam bin Abi al-Ash iaitu khalifah kelapan dalam kerajaan Bani Umayyah. Beliau disebut sebagai ‘Tokoh yang Mengubah Dunia’ oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadwi. Hasan al-Basri ketika memerihalkan berkenaan keperibadian khalifah terpilih ini yang digambarkan sebagai seorang (Hepi Andi Bastoni 2008):

“Pemimpin yang adil laksana seorang pengembala yang mengasihi haiwan gembalaannya. Beliau membawa binatang gembalaannya ke tengah padang rumput yang luas dan subur. Beliau menjaga binatang gembalaannya agar tidak diterkam binatang buas. Beliau selalu mengawasinya agar tidak kelaparan dan kehausan”

Beliau dengan sifat rendah diri telah meronda pada waktu malam semata-mata untuk memastikan rakyatnya berada dalam keadaan selamat dan selesa. Inilah pengorbanan seorang insan yang mulia. Itulah hakikat kehidupan. Bagi seseorang yang berasa dirinya hamba-Nya. Baginya hanya satu. Biar hati terluka, asalkan orang lain bahagia. Prinsip yang cuba ditanam sedalam mungkin di dalam hati. Pada fikiran mereka, sentiasa berlegar-legar firman Allah S.W.T :

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan daripada sesuatu, maka Allah akan menggantinya…..”
                                                                                                                                                                                    (Saba’ 34: 39)

Siapakah yang lebih baik gantiannya selain daripada-Nya? Bukankah gantian daripada Allah itu yang kita damba-dambakan?

Mereka sanggup mengetepikan sifat takabbur, hanya untuk bertanya khabar. Bertegur sapa bagi mereka satu kemestian. Kerana, mungkin dengan bertegur sapa itu dapat mengurangkan tekanan dan bebanan yang sedang ditanggung olehnya. Tidak banyak, sedikit pun sudah memadai. Ia tetap menjadi zikir sakinah. Perkara yang kecil, tidak dipandang dengan sebelah mata. Malah, ia menjadi seperti secicip manisan yang diburu oleh jutaan semut.


Memberi dengan Senyuman

Muslim meriwayatkan daripada Abu Zar r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda kepadaku:

Maksudnya: “Jangan sekali-kali engkau meremehkan kebaikan, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria.”
                                                                                                                                                                (Riwayat Muslim no. 2626)

Dalam hadis yang lain, Baginda menjelaskan bahawa senyuman terhadap saudara kita adalah sedekah.

Menurut Dr. ‘Aidh Abdullah al-Qarni dalam kitabnya ‘Demikianlah Masa Menceritakan Kepada Kita’:

“Ini kerana senyuman telah menimbulkan perasaan senang dan bahagia di dalam hatinya. Kamu telah berjaya memikat hatinya dengan wajah yang penuh dengan senyuman dan ceria. Dengan wajah persaudaraan yang cerah pula kamu telah berjaya menyejukkan haba panas di dalam dirinya.

Oleh itu, barangsiapa yang ingin mendapatkan simpati dan kasih sayang orang lain, maka senyumlah kepada semua orang. Kerana senyuman boleh menghapuskan kebencian dan kedengkian hati orang lain dan boleh mencabut duri yang ada dalam jiwa mereka. Senyum merupakan penawar mujarab yang dianjurkan oleh para ulama ahli nasihat. Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah S.W.T untuk mendapatkan kebaikan, maka, Dia akan memberinya kurnia berupa akhlak yang mulia, hati yang lembut dan wajah yang ceria yang dihiasi dengan senyuman kepada saudara-saudaranya. Senyuman mampu memberikan cahaya ketenangan dan hembusan angin kedamaian yang lembut.”

Sungguh. Senyum itu mempunyai kuasa tanpa tenaga. Terdapat padanya tarikan magnet tanpa perlu  menggunakan tali rafia. Senyumlah dari hati yang ikhlas. Saat ingin melemparkan senyuman. Senyuman yang berada dalam redha Allah.

Memberi dengan Doa

Muslim meriwayatkan daripada Abu Darda’ r.a., bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

Doa seorang Muslim untuk saudaranya (sesama Muslim) tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Setiap kali dia memanjatkan doa kebaikan untuk saudaranya, di atas kepalanya ada seorang malaikat yang berkata: ‘Amin. Semoga engkau juga beroleh perkara yang sama.”
                                                                                                                                                                                (Riwayat Muslim no. 2732)

Berdoa untuk orang lain. Berdoa atas nasab ukhuwah keimanan. Inilah yang membuatkan kita saling memerlukan doa yang baik antara satu sama lain. Berdoa kerana kita sangat memerlukan kurnia dari pelbagai kurniaan Tuhan Yang Maha Memberi.

Mungkin, kita berada di sini sekarang atas doa sahabat kita? Barangkali, kita berasa gembira dan tenteram pada hari ini adalah disebabkan oleh panjangnya teleku sahabat kita di atas sejadah semata-mata untuk memohon kebaikan buat diri kita?

Maka, kita memang perlu saling mendoakan. Sebab, kita tidak mampu berdiri dengan kaki sendiri. Berdiri dengan bantuan dari Ilahi dan manusia di sekeliling. Lengkap-melengkapi.

Resolusi ‘Memberi’

Inilah yang dimaksudkan dengan memberi dari hati ke hati. Memberi pada perkara-perkara yang dapat dilihat seperti wang hanya berbekas buat sementara. Tetapi, pada perkara yang tidak dapat dilihat, ianya selamanya berbekas di hati. Memberi untuk bersama-sama mengingati tentang kebesaran Allah. Ini kerana, bejana taqwa adalah hati. Berilah tatkala kita dalam keadaan susah apatah lagi senang. Kerana itu merupakan peribadi orang yang bertaqwa seperti yang disebutkan Allah S.W.T di dalam Surah Ali ‘Imran.
Kelak kita akan disoal tentang apakah yang kita sumbang yakni memberi semasa di dunia. Kita akan menerima kembali segala apa yang kita beri. Justeru, hayati bersama-sama maksud kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz ini:

“ Jadilah seperti seorang doktor yang berpegalaman dan berpengetahuan dengan pasti. Seandainya dia tidak memberikan ubat yang semestinya dia berikan, pasti dia tidak tenang dan berasa susah hati serta berdosa.”


Atas setiap apa yang menimpa, maka, syukurlah setiap detik dalam kehidupan.







No comments:

Post a Comment