Saturday 26 November 2011

Di Sebalik Rintik Hujan (Part 1)


Musim Tengkujuh Bermula


Hujan bertali arus turun membasahi bumi. Membasahi daerah saya, Seremban. Hari ini adalah hari yang menggembirakan hati saya. Hati tidak sabar-sabar untuk menemui seseorang. Seseorang yang sudah lama berpisah; Seseorang yang sudah lama tidak berhubung dek kerana menyambung pengajian di luar negera. Pada saya, hari ini seolah-olah pengubat kepada penantian yang agak lama. Sejak 10 tahun berpisah. Pakaian diperhias dan diperkemas. Perasaan ingin tahu membuak-buak di dalam dada akan khabar sahabat saya itu, Amar. Rindu teramat. Sungguh.


Saya menaiki motorsikal menuju ke tempat yang telah dijanjikan. Tiba-tiba, beberapa minit kemudian selepas saya keluar dari rumah, hujan berderai menghentam bumi. Keadaan ketika itu, begitu kabut dan getir. Gamat. Dengan bunyi hiruk petir dan kilat. Pandangan menjadi kabur dengan kabus hujan yang tebal. Walaupun berat hati ini, saya terpaksa membatalkan perjalanan untuk ke tempat tersebut. Motorsikal saya terpaksa berpatah balik ke rumah kerana amat hampir. Hati bertukar galau. Amat sedih.


Di rumah, saya tidak berfikiran waras. Tiada hala tujuan. Tiada pedoman ketika itu disebabkan satu perjanjian telah dibatalkan oleh turunan hujan yang lebat.




Monolog Hati


Hati memberontak. Atas apa yang terjadi sebentar tadi.


"Mengapalah tiba-tiba hujan turun, kalau tidak aku sudah boleh berjumpa dengan Amar."


"Mengapalah hujan turun waktu ni pulak."


"Ish, sudahlah lama tidak berjumpa."


Saya murung. Teramat dukacita. Tangisan acapkali berjurai membasahi pipi tatkala berseorangan. Walaupun, kejadian itu sudah seminggu berlalu.


Ya Allah, berilah hamba-Mu ini petunjuk.




Hikmah Hujan


Bukankah Malaysia mempunyai musim hujan atau tengkujuh?
Mengikut kajian, iklim Malaysia mempunyai suhu yang hampir seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Angin pada amnya lemah. Malaysia yang terletak berhampiran khatulistiwa amat jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung, meskipun pada musim kemarau teruk. Malaysia juga jarang sekali mempunyai satu tempoh beberapa hari dengan tidak ada langsung cahaya matahari kecuali pada musim monsun timur laut.
Bukankah hujan di Malaysia, adalah satu perkara biasa?

Melainkan ianya turun dengan keadaan yang agak tidak terkawal. Ianya, luarbiasa dan suasana pada ketika itu akan menjadi hura-hara.

Jadi,


Mengapa saya harus bermasam durjana disebabkan turunnya hujan?
Mengapa saya harus kaget dan pana tatkala hujan turun?
Mengapa saya harus menjadi gila, tidak mengetahui hala tujuan hanya disebabkan satu pertemuan yang terpaksa dibatalkan apabila cuaca tidak mengizinkan?

Mengapa, saya begitu sekali?

Padahal, saya mengetahui bahawa hujan akan turun jua di Malaysia. Di daerah saya, khasnya. Cuma, saya tidak mengetahui bila masanya ia akan turun. Itu sahaja.

Saya sepatutnya, perlu bersedia dengan seluruh jiwa dan jasad bagi menyambut kedatangan hujan. Perlu menghadapinya dengan hati yang tenang. Kerana lumrah iklim Malaysia adalah hujan. Bukannya, menjadi tidak tentu arah apabila ianya datang.

Uhh...



Ketahui Kembar Kehidupan

Apakah kembar kepada kehidupan kita?


Adakah ianya, kembar siam?

Kembar kehidupan adalah ujian dan mehnah. Pasti. Tidak perlu menafikannya. Semua manusia baik yang kaya mahupun miskin, sihat mahupun yang sakit dan berjawatan tinggi mahupun orang bawahan akan jua melalui detik-detik bersama dugaan. Ianya lumrah. Apabila dikatakan lumrah, kita tidak bleh lari. Akan bertemu jua dengan kelibat mehnah. Walaupun, sederas mana kita berlari; Walau setangkas mana seni mempertahakan diri. Ia tetap wujud di hadapan kita. Tidaklah dikatakan seseorang itu manusia apabila ia tidak pernah mempunyai masalah.

"Bukanlah manusia, kalau tidak mempunyai masalah"

Mengapakah kita perlu bersedih dan berduka, malah, menghina diri dek tekanan masalah?

Walhal, saya sedia maklum, lumrah kehidupan adalah dengan ditimpa dugaan. Sepertimana, hujan lumrah bagi iklim di Malaysia. Apa yang perlu kita lakukan adalah 'sediakan payung sebelum hujan'. Yakni persediaan. Persediaan bagi menghadapi armageddon mehnah. Buatlah persediaan jika tidak mahu pembetulan. 


Bagi mereka yang mengenal hakikat penciptaan diri, mengingati Allah adalah perkara yang pertama di kotak minda mereka. Bagi mereka, 'what happen to you' adalah satu lumrah. Yakni, segala bentuk ujian yang bersilih ganti datang adalah resmi kehidupan. Mesti hadir dalam nota kehidupan mereka. Adapun, 'what happen in you' menjadi suatu kaedah. Kaedah bagi menghadapi situasi getir. Getirnya seperti sambaran petir. Saat hujan lebat.


"Bagaimanakah harus saya menghadapi keadaan sebegini? "
"Bagaimana? "
"Mesti ada jalan keluar yang bisa memecahkan kebuntuan ini."
"Ya, saya yakin."


Allah s.w.t tidak akan memberi kenikmatan melainkan selepas wujudnya kepayahan. Kenikmatan di syurga mesti didahului pelbagai arena tribulasi. 




Firman Allah s.w.t:



 "Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."


(al-Baqarah: 214)


Ketahuilah, Allah tidak akan membebani kita atas apa yang tidak mampu kita pikul. Segala apa yang terjadi, itulah aturan dan caturan daripada Ilahi. Semestinya, aturan Allah itulah yang terbaik. Allah mengetahui kemampuan hamba-hamba-Nya. Setiap apa yang terjadi, sudah tentu wujud perca-perca mutiara yang tersingkap. Inilah, hulwun. Kemanisan. Kemanisan yang dibaluti dengan kepahitan. 


Sabda Rasulullah s.a.w:


"Sesungguhnya agama Islam itu mudah. Tidak ada seseorang yang memberatkan diri dalam melaksanakannya, melainkan dia akan menjadi beban baginya. Perelokkanlah kamu dalam mengerjakan ibadah dan berusahalah untuk selalu memperbetul dalam mengerjakannya." 




Pahit sebelum manis,
Manis dengan ilmu yang tidak habis-habis.


Kami bersyukur atas apa yang menimpa kami. Kerana, dengan itu, kami sedar dan insaf. Insaf akan kelemahan diri kami. Kerana, ujian daripada-Mu adalah guru yang mengajar kami. Mengajar menjadi hamba bersyukur.


Pujangga berkata: "Setiap bencana yang menimpa adalah pelajaran yang tidak boleh dilupakan dan setiap musibah yang menimpa akan selalu terukir dalam fikiran. Oleh itu, bencana merupakan nas yang kekal yang ada di alam fikiran.


Ingatlah,


Kejayaan adalah persis daripada kerja kuat, penderitaan, luka, pengorbanan dan kecemasan. Sedangkan, kegagalan adalah daripada rintik-rintik kemalasan, tidak mempunyai semangat, perasaan lemah dan tidak bersungguh-sungguh.


Atas apa yang menimpa, syukurlah setiap detik dalam kehidupan.













1 comment:

  1. bagus3!!! tapi bnyak sket space ea...letih nak bace 1 perenggan..keep it up...

    ReplyDelete