Saturday 26 November 2011

Duhai Cinta, Di Manakah Kau?






Semoga melalui usaha pena yang baru ingin ‘merebung’ dan kecil ini, bermanfaat buat diri kita semua di dunia dan di akhirat. Hanya Allah s.w.t yang membuka pintu hati hamba-hamba-Nya.


Firman Allah s.w.t :
“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta telah beriman sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka… “
                                                                                     (al-Hashr 59 : 9)


Kalau sudah jatuh cinta, jatuhlah. Kita tidak mampu untuk patah balik ke masa lampau untuk menghalang sebuah gelas daripada pecah akibat jatuh. Hanya yang kita ada adalah waktu sekarang. Cinta itu fitrah manusiawi. Sesiapa yang menolak fitrah ini,maknanya, dia menolak fitrah kejadian Allah S.W.T. Akan tetapi, ia boleh bertukar menjadi fitnah jika tidak betul pedomannya. Kita tidak perlu mendiskriminasikan soal cinta di dalam hati apabila ianya datang kepada kita. Cinta itu boleh, tetapi yang penting, bagaimana kita mengawalnya. Bukan soal, mengapakah cinta itu hadir. Tetapi, bagaimanakah cara kita bercinta. Jika diberikan pisau rambo kepada kita, tidak usah ditanya untuk apakah aku memegang pisau tersebut. Bagaimanakah untuk kita memanfaatkan pisau ini. Ini yang seharusnya disoal dalam diri kita.


Atas dasar apakah kita bercinta? Neraca jenis apakah yang kita gunakan sepanjang percintaan kita ini?


Semua insan menginginkan seorang teman yang baik akhlaknya, cantik budi pekerti ditambah pula dengan rupa paras yang kacak dan anggun serta bermacam-macam lagi ciri-ciri yang kita senaraikan dalam kotak minda. Benar cinta itu lumrah. Cinta sesama makhluk. 


Persoalannya, adakah cinta kita ini untuk Si Pencinta atau Sang Pencipta Cinta?


Sabda Nabi s.a.w :
“ Sesungguhnya pada hari kiamat kelak Allah akan berfirman yang bermaksud: ‘Di manakah orang yang saling mencintai kerana-Ku? Pada hari ini Aku akan menaungi mereka di bawah naungan-Ku; pada hari ini tiada naungan, selain naungan-Ku’ ”
                                                                       (Riwayat Muslim no. 2566)


“ Adakah aku cinta dia ni, untuk Si Pencinta atau Sang Pencipta Cinta? “


Perlu nampak dengan lebih luas bahawa kita bercinta ini kerana siapa? Kerana perempuankah / lelakikah atau kerana Allah? Bukan sekadar tahu cinta sahaja.


Kalau cinta untuk si pencinta, kita meletakkan Allah itu sebagai perantara sahaja dan matlamat kepada cinta kita ialah kekasih pilihan hati. Ini yang perlu dijauhi kerana ianya membelakangkan Allah sebagai Yang Memiliki Sifat Belas Kasihan. Sebaliknya, kita meletakkan Allah itu sebagai matlamat cinta yakni di penghujung dan kekasih pilihan hati hanya sebagai perantara. Itulah yang dimaksudkan dengan cinta untuk Sang Pencipta Cinta. Yakni, Allah s.w.t.


Jangan mengambil kesempatan atas fitrah cinta ini untuk menghalalkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah. Cintalah dengan berkiblatkan Allah, bukannya makhluk-Nya yang lemah. Ayuh, bersama-sama serta ajaklah diri kita dan dirinya mencapai reda Allah.


Ya, cinta memang memerlukan pengorbanan yang utuh. Sungguh. Adakah dengan kita bercinta, kita perlu mengorbankan wang untuk si dia? Adakah dengan bercinta, kita mesti mengorbankan tenaga dan masa untuk berjumpa si dia di tempat yang telah dijanjikan? Adakah ini dimaksudkan dengan pengorbanan dalam cinta yang sebenar-benarnya?


Cinta yang mengikut neraca Allah akan membuatkan seseorang itu dapat berfikir panjang dan jauh sekali gus dapat memahami hakikat pengorbanan ini. Sebenarnya, pengorbanan itu bukannya untuk si dia, tetapi, untuk diri kita yang sedang bercinta. Cinta itu panjang perjalanannya. Cinta itu bukan setakat bermain-main dalam benak hati, tetapi baginya, “bercinta, biarlah sampai ke syurga.” Dia bukan sekadar tahu bercinta, tetapi, memandu cinta dengan ilmu al-Quran dan al-Sunnah agar tidak terjerumus ke kancah fitnah. 


Tidak dapat dinafikan, seseorang akan mengidamkan sebuah rumah tangga yang harmoni dan tenteram serta bebas daripada cengkaman keretakan dan ditambah pula berhasrat ingin mendidik anak-anak dengan didikan yang sempurna dari segi mental dan fizikal, yakni anak yang taat, berbakti kepada kedua ibu bapa bukan sahaja ketika hidup bahkan selepas mati, berdisiplin, menjaga waktu solat dan mempunyai budi pekerti yang sopan. Di sinilah, yang dimaksudkan dengan pengorbanan. Mengorbankan masa, wang dan tenaga untuk mencapai apa yang diimpikan. Nah, inilah sebenarnya yang perlu dikorbankan. Bermula daripada diri kita. Jika kita impikan semua itu, kita perlu berkorban dahulu yakni pada waktu sekarang. Kita akan berusaha untuk bersolat di awal waktu, menjadi seorang insan yang taat, menjaga disiplin dan berakhlak baik. Hasilnya bukan sekarang. Tetapi, akan datang. Ingatlah, kita hidup di atas dunia ini ibarat roda. 


Bukankah kita akan menerima semula apa yang telah kita usahakan pada masa dahulu?


Sahabatku yang dimuliakan,


Muhasabahlah diri kita. Perempuan baik untuk lelaki yang baik. Jika kita inginkan perempuan yang baik, maka perbaikilah diri kita. Allah jugalah memberikan kita apa yang kita pinta. Maka jadikanlah cinta kita kepada Allah sebagai pokok yang membuahkan cinta-cinta lain. Inilah fokus rencana ini. Insya-Allah, kita tidak akan kecewa bila silap dan kita akan rasa teramat bahagia bila betul. Pembinaan diri sendiri itu yang perlu diutamakan. Bukan mencari siapa perempuan yang kita perlu dahulukan. Perkemaskan taqwa kepada Allah, agar lebih mudah mendapat bantuan-Nya. Kalau kita gagal, kita tidak akan kecewa, sebab bila kita berusaha mendapatkan reda Allah, pastinya Allah akan memberikan apa yang terbaik untuk kita.


Dr. ‘Aidh Abdullah al-Qarni pernah berkata:
“ Dan orang yang mencintai, pandangannya akan kabur terhadap segala aib dan keburukan orang yang dicintai… “


Tidak perlu segan, malu tersipu-sipu dan ketawa sinis apabila kita berbincang mengenai cinta. Kerana ianya asas. Akar segala perkara. Enjin yang menggerakkan perbuatan untuk bertindak. Mencapai reda Allah semata-mata. Kerana cinta jugalah, makin terjadi-jadinya kes pembuangan bayi, gejala murtad, bunuh diri dan peribadi yang tidak bermoral akibat tiada rujukan dalam bercinta. Pena ini bukan ingin mengajak dan mengajar untuk bercinta. Tetapi, biarlah ini menjadi pedoman dan persediaan kita untuk menghadapinya apabila ia hadir secara tanpa diduga.


Atas setiap apa yang menimpa, maka, syukurlah setiap detik dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment