Monday 12 December 2011

Mehnah Membentuk Peribadi Syukur




Firman Allah S.W.T :

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman yang ada bersamanya, “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”
                                                                                                        (Al-Baqarah : 214)

Barangsiapa menginginkan penjelasan daripada al-Quran dan akal tentang kehidupan dunia, maka, kedua-duanya akan mengkhabarkan bahawa dunia ini adalah penuh dengan ujian dan bala’. Justeru, tidaklah hairan, jika di sana telah menunggu bermacam bala’ serta ujian. 

Dunia dalam keadaan yang sebenarnya bukanlah untuk meneguk kelazatan. Tiada kelazatan di sana kecuali jauhnya melainkan menyakitkan.

Jika kita mengimbau kembali bagaimana Nabi Adam sendiri, tiada habis-habisnya memperoleh cubaan sehingga beliau meninggalkan dunia ini. Nabi Nuh pula beratus-ratus tahun menangis, Nabi Ibrahim dilempar ke dalam api oleh kaumnya. Juga beliau diuji untuk menyembelih puteranya. Nabi Yaaqub sentiasa menangis sehingga matanya menjadi buta. Nabi Musa harus menghadapi keganasan Fir’aun serta selalu mendapat ujian daripada kaumnya.


Wasiat Buat Teman


Sahabat-sahabat sekalian,

Sesungguhnya manusia akan diuji dalam segala sesuatu, sama ada dalam hal-hal yang disenanginya dan disukainya, mahupun dalam hal-hal yang dibenci dan tidak disukainya. 

Allah S.W.T berfirman :
      
“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”
                                                                                                            (Al-Anbiya’: 35) 
                
Manusia itu teruji dengan dikurniakan kesihatan yang diperolehinya. Dia juga teruji dengan ditimpa sakit. Manusia diduga dengan kekayaan, dia juga diduga dengan kemiskinan. 

Allah memberi percubaan dengan kesenangan; Dia juga memberi percubaan dengan penderitaan. Demikianlah percubaan Allah terhadap hamba-Nya bertukar ganti antara susah dan senang, antara derita dan lapang, antara takut dan damai serta antara nikmat dan bala’.


Jenis-jenis Ujian


· Kepercayaan dan agama
· Tubuh badan
· Harta kekayaan
· Perempuan dan anak-anak (dugaan nafsu dan syahwat)


Tujuan-tujuan Ujian


1.Menyaring dan menggilap seperti firman Allah yang bermaksud,
               
“Dan kerana Allah hendak menyaring mereka yang beriman dan hendak menghapuskan kekafiran.”
                                                (Ali Imran : 141)

2.Meninggikan darjat dan menghapuskan kejahatan seperti mafhum sabda Rasulullah s.a.w yang menerangkan sesungguhnya bala itu tetap akan menimpa orang-orang beriman lelaki dan perempuan. Mengenai dirinya, anaknya dan hartanya sehinggalah dia menemui Allah dalam keadaan tiada berdosa lagi.
 
3.Menguji dan menyingkap hakikat insan untuk menjelaskan hakikat kemanusiaan sebagaimana firman Allah,

“Allah tidak akan biarkan manusia atas keadaan yang kamu ada padanya hingga ia bezakan yang buruk dari yang baik.”
                                                (Ali-Imran : 179)

4.Membentuk peribadi.

Dugaan-dugaan selalu mencipta pahlawan-pahlawan dan memanglah ujian-ujian selalu mengasuh bakat-bakat yang ada di dalam diri manusia sekali gus menjadikan mereka sebagai manusia dan satria.


Jadi sahabat sekalian, tatkala diri kita menghadapi dugaan yang pada hakikatnya memang berat dan susah untuk menerimanya tetapi yakinlah Allah sebagai Khalik semesta alam telah menyiratkan seribu macam hikmah di sebalik dugaan itu. 

Tambahan pula, ia merupakan titik tolak untuk kita bekerja keras bagi menempa kecemerlangan.

Adapun kita dianjurkan supaya membaca lafaz Istirja’ (Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un) saat musibah itu menimpa diri kita yang serba lemah ini lalu membaca doa seperti yang diajar oleh Rasulullah S.A.W kepada Ummu Salamah yang bermaksud,

“Ya Allah, berilah kami pahala dalam musibah ini dan berilah kami ganti yang lebih baik daripada musibah ini, melainkan Allah akan mengabulkan doanya.”


No comments:

Post a Comment